Archive for the ‘Versi Melayu’ Category
Oleh Rosliwaty Ramly
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Laporan Perdana Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) – Kedudukan Kanak-kanak di Dunia – tahun ini menilai situasi survival kanak-kanak dan penjagaan kesihatan asas bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak, menunjukkan kedudukan isu-isu ini semasa umat manusia mengecapi kemajuan.
Laporan global itu akan disiarkan di Malaysia sempena Hari Kesihatan Sedunia 2008, yang akan disambut dengan rasminya pada 7 April.
Dengan lebih kurang 26,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap hari, dan tempoh tamat bagi Matlamat Pembangunan Milenium (MDG)4 – yang bertujuan mengurangkan mortaliti kanak-kanak sebanyak dua pertiga antara tahun 1990 dan 2015 – semakin dekat, timbul soalan-soalan kritikal, khasnya: bagaimana momentum terhadap survival maternal, bayi baru lahir dan kanak-kanak dapat dikekalkan serta kemajuan dipercepatkan dalam baki tempoh lapan tahun ini.
Menurut Wakil UNICEF Malaysia En. Youssouf Oomar, kadar mortaliti kanak-kanak pada amnya diiktiraf sebagai petunjuk terbaik kesejahteraan penduduk kanak-kanak dan juga satu penilaian pembangunan keseluruhan sesebuah negara.
“Isu-isu ini merupakan kayu ukur sensitif pembangunan serta kesejahteraan sesebuah negara dan juga sebagai bukti keutamaan dan nilai-nilainya. Melabur dalam kesihatan kanak-kanak dan ibu mereka merupakan elemen penting dalam hak asasi dan satu-satunya cara pasti bagi sesebuah negara untuk menetapkan haluan menuju masa depan yang lebih baik,” kata En.Oomar.
PENJAGAAN IBU DAN BAYI
Di Malaysia, kesihatan ibu dan bayi telah menyaksikan penambahbaikan dramatik sepanjang era pasca kemerdekaan, dengan paras hari ini hampir sama dengan negara-negara maju:
* Kadar mortaliti bawah lima tahun (U5MR) telah menurun daripada 57 peratus bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 22 pada 1990 dan seterusnya 12 pada 2006.
* Kadar mortaliti bayi (IMR) telah menyusut daripada 41 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 16 pada 1990 dan seterusnya 10 pada 2006.
* Nisbah mortaliti maternal (MMR) menurun ke separuh antara 1957 dan 1970 apabila ia menyusut daripada sekitar 280 kepada 141 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. Menjelang 1990-an, MMR menyusut lagi dan kini berada di paras lebih kurang 33 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup (lebih kurang 160 kematian maternal yang dilaporkan setiap tahun).
Pengalaman Malaysia yang disifatkan menakjubkan ialah dalam usaha mengurangkan mortaliti kanak-kanak dan maternal yang merupakan hasil sinergi barisan luas dasar, strategi dan program yang telah menangani capaian kepada khidmat penjagaan kesihatan menerusi dimensi sosio-ekonomi, budaya, pendidikan, gender dan kemiskinan.
Bagaimanapun, selepas mencapai paras yang rendah, trend kebelakangan ini menunjukkan paras itu semakin mantap sementara jurang bandar-luar bandar semakin ketara.
Punca utama kematian di Malaysia bagi kanak-kanak di bawah usia satu tahun adalah keadaan perinatal, sementara septisemia dan pneumonia merupakan punca utama kematian kanak-kanak dalam kategori umur 1-5 tahun.
MORTALITI MATERNAL
Daripada segi mortaliti maternal atau keibuan, petunjuk-petunjuk proksi menunjukkan kadar lebih tinggi adalah di Sabah dan juga di kalangan penduduk Orang Asli di Semenanjung.
Pada masa yang sama, negara kini di peringkat peralihan epidemiologi di mana penyakit-penyakit tidak berjangkit dan penyakit kelamin seperti HIV semakin meningkat, khasnya di kalangan wanita.
Berdasarkan kepada pengalaman lepas, laporan UNICEF menunjukkan bagaimana pakar-pakar kesihatan maternal, bayi dan kanak-kanak semakin menumpukan pada satu set prinsip strategik bagi kesihatan dan survival kanak-kanak.
Prinsip-prinsip ini boleh memberikan dorongan perlu untuk mencapai MDG berkaitan kesihatan, termasuk:
* Mengiktiraf keperluan bagi perkongsian masyarakat untuk membantu keluarga dalam menambahbaik amalan penjagaan kesihatan bagi kanak-kanak, khasnya di negara-negara dengan sistem penjagaan kesihatan yang lemah.
* Menyediakan penjagaan berterusan bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak dengan menyusun sistem penyampaian pada titik-titik penting kitaran hayat.
* Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan dengan menawarkan sokongan lebih utuh bagi negara-negara membangun dalam perancangan negara, dasar dan rangka kerja belanjawan bagi MDG berkaitan dengan kesihatan.
* Meningkatkan usaha di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan tumpuan utuh terhadap penyelarasan, pengharmonian dan keputusan.
“Peruntukan penjagaan-kesihatan mestilah sesuai dengan had-had sumber manusia dan kewangan, konteks sosio-ekonomi, kapasiti sedia ada pada sistem kesihatan negara dan, akhirnya, tindakan segera untuk mencapai keputusan,” tambah En.Oomar.
“Satu kajian terhadap strategi-strategi ini menawarkan perspektif penting terhadap situasi semasa dan membantu dalam melangkah ke hadapan dalam usaha menentukan survival kanak-kanak.”
“Cabarannya ialah untuk memastikan kanak-kanak dapat mencapai penjagaan kesihatan berterusan, bersama sokongan sistem kesihatan kebangsaan yang utuh serta pembabitan masyarakat tempatan,” demikian ditekankan oleh En.Oomar.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
PULAU PINANG, 14 Mac (Bernama) — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengelak daripada menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau membantah penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Beliau sebaliknya mengalihkan perhatian kepada Agenda Ekonomi Malaysia yang sudah dirangka bagi menjaga kepentingan kaum Melayu di peringkat bawahan dan pertengahan.
Walaupun diasak oleh pemberita dengan pelbagai soalan berkaitan pendiriannya mengenai dasar itu, Anwar berkata agenda ekonomi yang hendak diperkenalkan oleh PKR dan DAP adalah lebih baik dan telahpun merangkumi sebahagian matlamat DEB terutama dalam isu membasmi kemiskinan.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di pejabatnya di sini, beliau sebaliknya menuduh media sengaja memutarbelitkan isu DEB ini yang hanya untuk menjaga kepentingan segolongan kecil kumpulan yang merompak kekayaan orang Melayu.
“Kita sudah merangka lima perkara dalam Agenda Ekonomi Malaysia, tetapi media tempatan memutarbelitkannya kerana mahu menjaga kepentingan golongan kecil.
“Aspek DEB yang basmi kemiskinan tu ada (dalam Agenda Ekonomi Malaysia) dan anda kena baca lima prinsip agenda itu. Cadangkan editor akhbar baca agenda ekonomi Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Anwar meminta semua pihak, termasuk Umno Pulau Pinang, supaya memberi masa kepada kerajaan negeri pakatan DAP-PKR di negeri ini untuk membuktikan kepimpinan mereka.
Katanya kerajaan baru itu belumpun sampai seminggu dan adalah tidak wajar mereka dikritik dan dihentam secara melulu.
“Beri mereka masa untuk membuktikan kebolehan, bukan hentam dengan pelbagai isu,” katanya.
Mengenai kemelut pembentukan kerajaan negeri di Perak, Anwar mengakui memang terdapat masalah pada mulanya mengenai perkara itu tetapi kini ia dapat diselesaikan secara bersama dengan pakatan pembangkang yang lain.
“Kita telah mencapai persetujuan dan biarlah orang di Perak yang mengumumkan. Kita tunggu pengumuman daripada Sultan,” katanya.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) — Berikut ialah sedutan temuramah pengacara Bernama TV (BTV) Sherkawi Jirim bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, di sini semalam.
Temuramah selama 30 minit itu menyentuh pelbagai perkara berhubung pilihan raya umum ke-12 yang baru berakhir, termasuk penjelasan beliau mengenai faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan majoriti dua pertiga bagi kerusi Parlimen.
BTV: Bernama TV mengucapkan setinggi penghargaan kerana hari ini kami di Seri Perdana, Putrajaya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ini merupakan satu penghormatan tidak terhingga diberi peluang mewawancara Yang Amat Berhormat Datuk Seri.
Jadi berdasarkan keputusan pilihan raya yang baru lepas, mungkin Datuk Seri ingin memberi huraian berhubung keputusan pilihan raya kali ini.
PM: Saya terima baik apa yang telahpun menjadi keputusan rakyat yang menentukan kedudukan parti-parti yang mengambil bahagian. Yang kedua, yang telah saya akui bahawa keputusan yang telah kami perolehi itu jauh lebih berbeza, merosot daripada keputusan tahun 2004. Ini tentu sekali ada sebab-sebabnya dan yang utama sekali ialah rakyat hendak menyatakan kami kurang puas hati, dalam empat tahun saya menjadi pemimpin kerajaan dan dengan itu mereka mengkehendaki perubahan.
Dan dengan itu mana yang boleh saya laksanakan akan saya laksanakan. Saya memahami apa yang menjadi kehendak rakyat. Mungkin dalam pelaksanaan itu ada kekurangan dan kelemahan, maka itu akan diperbetulkan.
BTV: Selama empat tahun Datuk Seri memimpin negara, kami percaya banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa Datuk Seri hadapi, secara peribadi apakah sebenarnya cabaran yang paling hebat selama empat tahun menjadi Perdana Menteri.
PM: Yang pertamanya ialah memahami semua masalah-masalah yang timbul terutamanya perhubungan antara kaum. Dengan isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Ini saya kena pastikan hubungan itu sentiasa dalam keadaan yang baik dan ada perasaan saling hormat menghormati dan muhibah.
Yang keduanya yang penting juga iaitu keamanan dan keselamatan supaya terus dinikmati oleh rakyat. Saya juga menghadapi masalah yang besar sekarang ini ialah masalah inflasi ekoran kenaikan harga minyak yang naik begitu tinggi sekali. Ini bukanlah perkara yang mudah dihadapi tetapi kita telah hadapi selama ini dan akan terus menghadapi masalah ini dalam pemerintahan yang baru ini.
Selain itu ekonomi negara mesti terus berkembang dan kukuh. Kita mahu apa yang berlaku pada ekonomi negara kita ini ialah satu kejayaan yang kita perolehi walaupun sikit demi sedikit tapi adalah kejayaan yang diharapkan oleh rakyat.
Kekuatan ekonomi itulah yang akan menjamin kita mendapat pelaburan dan juga menjayakan apa-apa juga projek yang kita nak laksanakan. Perubahan sekarang sudah timbul iaitu anak-anak muda kita yang menjadi pengundi pada pilihan raya, mereka ada aspirasi mereka dalam negara ini. Apakah harapan mereka yang perlu kita laksanakan.
Pemikiran mereka hari ini mungkin berlainan. Harapan mereka itu tidak sama dengan orang-orang tua dahulu ataupun semasa saya muda dahulu, 30 atau 40 tahun dahulu. Jadi beza ini perlu dikenali dan difahami. Apa yang dikehendaki oleh mereka ini perlu kita respond dengan sebaik-baiknya supaya mereka memahami bahawa ini merupakan satu-satunya negeri yang kami rasa ada harapan untuk hidup, harapan untuk berjaya dalam karier masing-masing, harapan untuk mendapat peluang pekerjaan, harapan untuk mendapat peluang-peluang dalam kerjaya yang mereka minati.
Ini adalah keperluan-keperluan yang perlu diberi perhatian dan ini adalah keperluan baru jika dibandingkan berlaku sudah lama dan kita kena address isu-isu seperti ini. Saya harap dalam address isu-isu seperti ini, apa yang saya perlu perolehi ialah kefahaman dan kerelaan untuk bekerjasama bagi menjayakan projek-projek, rancangan-rancangan atau dasar-dasar baru yang akan dilaksanakan.
BTV: Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, banyak pihak meragui tentang kedudukan Datuk Seri sendiri, malah ada pihak yang kata Datuk Seri mesti bersara, tetapi Alhamdulillah setakat ini Datuk Seri mendapat sokongan yang begitu kuat, bukan sahaja daripada Umno tetapi juga daripada parti-parti komponen BN. Komen Datuk Seri.
PM: Saya menghargai sokongan yang diberikan oleh pemimpin dan ahli-ahli Umno serta pemimpin parti komponen BN. Saya juga faham walaupun sokongan yang diberikan kepada BN yang saya pimpin itu merosot berbanding yang diberikan pada 2004, tetapi majoriti yang diperolehi pada waktu ini adalah satu majoriti yang kuat, hanya lapan yang kurang daripada angka 148 untuk menjadikan sokongan itu dua pertiga.
Ini masih berupa amanah, mandat yang diberikan kepada saya, saya tidak akan lari daripada tanggungjawab saya untuk melaksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat daripada apa yang dapat saya baca berdasarkan tahap sokongan yang mereka (rakyat) berikan itu.
BTV: Bernama TV menghormati pendirian Datuk Seri. Rata-rata sekarang apa yang diperkatakan orang ramai ialah kabinet yang akan diumumkan oleh Datuk Seri, mungkin boleh beri bayang-bayang kabinet yang akan diumumkan itu.
PM: Sudah semestinya kabinet itu akan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan mampu melaksanakan apa juga yang telahpun dirancangkan. Kita mahu transformasi yang hendak dibawa itu mesti dilaksanakan sebaik-baiknya.
Perlu juga diambil kira kabinet akan terdiri daripada menteri-menteri daripada kaum-kaum di negara kita ini sama ada Cina, India, Iban dan Kadazan, semua mereka akan ada dalam kabinet. Juga penting kabinet juga akan ada muka-muka baru yang saya pilih.
BTV: Apakah kemungkinan menteri-menteri yang tewas dalam pilihanraya lalu akan dilantik semula sebagai menteri berasaskan kepada kebolehan dan kepakaran mereka.
PM: Yang sudah tewas kita tidak ada cadangan untuk melantik semula.
BTV: Terima Kasih Datuk Seri…Satu lagi yang menarik, kalau dilihat pada keputusan pilihan raya, sebenarnya banyak isu-isu yang dibangkit terutama oleh parti-parti pembangkang ketika kempen pilihan raya, kadang-kadang isu dibangkitkan itu kelihatan remeh tetapi akhirnya memberi kesan.
Pada pandangan Datuk Seri apakah sebenarnya isu-isu yang digunakan oleh parti pembangkang sehingga berjaya melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa itu.
PM: Isu-isu yang ada hubung-kait dengan apa yang mereka anggap rakyat tidak puas hati yang mereka ambil kesempatan untuk mengeksploitasikan habis-habis. Isu kenaikan harga barang, harga minyak… ini yang menjadi isu yang cukup penting, juga isu-isu berkaitan pelbagai kaum, jenayah, rasuah…itu selalu disebut-sebut berulang kali. Itu perkara-perkara yang mereka tahu rakyat kurang senang dan maka itu memberikan jalan mudah kepada mereka untuk mendapatkan sokongan.
Tetapi ini isu-isu yang saya tidak lupa, perlu saya akan ambil segala tindakan untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan, ini penting, akan menjadi perkara “top priority” dalam pentadbiran yang akan saya laksanakan.
BTV: Sokongan kaum India, Cina dan Melayu sendiri terutamanya terhadap BN dilihat sedikit menurun berbanding masa lalu, kenapa ini berlaku.
PM: Perkara ini timbul kerana adanya perasaan-perasaan tidak puas hati tentang pengagihan pelbagai kemudahan sama ada projek dan lain-lain perkara, jadi ini yang ada hubung kait dengan pelaksanaan program-program dan projek-projek yang telahpun ditetapkan oleh kerajaan. Mereka tidak menentang, tidak mengatakan tidak puas hati dengan rancangan pembangunan yang ditetapkan, mereka mempersoalkan tentang pelaksanaan itu yang mereka kurang puas hati mengenainya.
Maka dengan itulah saya akan memberi perhatian, dalam pemerintahan nanti akan memberi perhatian sepenuhnya mengenai pelaksanaan. Dasar-dasar telah kita tetapkan, projek-projek telah mula dilaksanakan, atau sekurang-kurangnya telah dilancarkan untuk pelaksanaan, maka untuk empat lima tahun akan datang ini, yang akan saya berikan perhatian ialah yang berkaitan pelaksanaan, memperbetulkan pelaksanaan, memastikan pengagihan yang saksama antara semua kaum, memastikan semuanya berjalan dengan sebaik-baiknya dan berkesan dan menepati dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat, itu yang akan saya berikan penekanan.
Satu lagi berkaitan dengan keamanan dan keselamatan, ini juga akan diutamakan, saya mahu negara kita aman dan selamat. Undang-undang ada, tidak berubah walaupun pilihan raya menunjukkan tahap sokongan yang kurang berbanding dahulu. Undang-undang masih boleh dipakai, masih boleh dikuatkuasa dan saya akan melaksanakan, menguatkuasakan undang-undang itu sebab adalah amat penting bagi negara kita ini aman dan selamat.
Kalau tidak selamat, segala macam pembangunan yang hendak dilaksanakan tidak boleh dijalankan dengan betul, baik dan sempurna, jadi ini menjadi satu “pre condition”, syarat pertama bagi menjamin pentadbiran berjalan dengan baik dan pelaksanaan semuanya berjalan dengan baik.
BTV: Banyak juga yang memperkatakan apa akan berlaku kepada projek-projek besar yang sudah dirancangkan sebelum pilihan raya terutama yang melibatkan negeri-negeri yang bukan diperintah oleh BN. Adakah Datuk Seri bercadang untuk meneruskan projek-projek yang dirancangkan itu.
PM: Apapun yang telah dirancangkan, apa yang telahpun dilaksanakan, yang telah ada perjanjian, kontrak atau sebagainya, tidak berubah, ia akan terus dilaksanakan. Itu janji kepada rakyat. Ini rancangan kerajaan federal…kuasa kerajaan federal meliputi semua negeri yang ada di dalam Malaysia ini. Kita akan laksanakan, ini yang penting dijanjikan, sebab tanggungjawab kita untuk semua negeri, sama ada NCER, lebuhraya, jalan raya dan lain-lain yang telahpun ditetapkan untuk dilaksanakan, kontrak yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan, saya tidak akan tarik balik, sebaliknya akan dipastikan semua berjalan dengan baik dan elok dan seperti yang diharapkan.
BTV: Berkaitan Umno sendiri, dikatakan salah satu sebab mengapa BN gagal mencapai pencapaian cemerlang adalah kerana adanya krisis dalaman dalam Umno sendiri. Boleh Datuk Seri terangkan lebih lanjut apakah isu dalaman Umno ini dan apakah krisis ini yang menyumbang kepada prestasi kurang menarik daripada Umno dan BN.
PM: Dengan jelas dan berterus-terang saya katakan apa yang berlaku dalam Umno adalah juga berkaitan penamaan calon-calon, ada yang tidak puas hati, ada yang tidak mahu menyokong dan ada yang tidak mahu membantu. Ada macam-macam yang berlaku berkaitan calon yang telah dipilih itu. Kebanyakan yang dihadapi sepanjang pilihan raya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Kita pilih calon dengan berhati-hati, nak pastikan calon itu tidak ada rekod jenayah, rasuah, itu yang penting sekali dan mereka juga bukan dari orang yang muflis atau akan menjadi muflis.
Kita pilih mereka sebaiknya ada hubung-kait dengan kedudukan dalam parti tetapi masih ada lagi ketidakpuasan hati dan inilah satu perkara yang telah melemahkan kempen-kempen kita.
Tetapi saya tidak menafikan bahawa kekuatan dari luar yang tidak mahu menyokong itu adalah juga satu kekuatan yang perlu kita akui kerana ini adalah apa yang diputuskan oleh rakyat dan dikehendaki oleh rakyat. Gabungan luar ini jugalah yang telah merosakkan, tetapi saya ingin berpegang kepada apa yang saya fahamkan iaitu rakyat ingin memberi isyarat dan isyaratnya ialah Pak Lah perbetulkan pelaksanaan, pastikan semuanya berjalan baik, elok dan tegas supaya negara kita ini benar-benar boleh menjadi negara yang selamat untuk semua dan keamanan akan dinikmati oleh semua dan pembangunan akan dilaksanakan sebaiknya tanpa melakukan diskriminasi dan pastikan pengagihan peluang itu adil bagi semua kaum. Ini yang saya faham… ini mesej yang ingin disampaikan.
BTV: Satu lagi yang mungkin Datuk Seri perkatakan sesuatu atau menyeru sesuatu terutamanya kepada parti komponen yang menerima paluan hebat dalam keputusan pilihan raya terutama melibatkan Gerakan, MCA atau MIC misalnya. Mungkin Datuk Seri ingin mengatakan sesuatu kepada parti komponen.
PM: Saya harap mereka memahami kenapa nasib tidak baik sekali dalam parti yang mereka pimpin. Mereka tentu ada buat analisa mengenai perkara ini. Yang pentingnya apa pun hasilnya, dijadikan panduan untuk perbetulkan, jangan nanti pula rasa dah “give up” atau rasa tak nak buat apa-apa lagi kerana terlalu dukacita dengan kekalahan itu. Mereka mesti ambil tindakan yang positif dan tindakan yang tegas bahawasanya apa yang tidak baik yang berlaku yang ada dalam parti diperbaiki. Seperti mana yang saya akan lakukan pada Umno juga dan Barisan Nasional keseluruhannya. Itu penting.
BTV: Seruan Datuk Seri kepada calon-calon terutama daripada BN yang sudahpun berjaya, seperti kata Datuk Seri tadi apa yang berlaku pada pilihan raya lalu ialah seperti protes daripada rakyat terhadap kerajaan BN dan mereka yang berjaya perlu ambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku. Nasihat Datuk Seri kepada mereka.
PM: Nasihat saya ialah mereka menjadi wakil rakyat, perlu mewakili rakyat dan perlu berkhidmat untuk rakyat. Memang ada juga antara komplen-komplen yang dibuat mengenai kurangnya perhatian, kurangnya khidmat, kurangnya berkesan, peranan-peranan wakil rakyat sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Jadi mereka perlu memahami perkara ini dan perlu mengambil tindakan mempastikan apa yang mereka laksanakan di kawasan masing-masing, sama ada berkaitan pembangunan projek-projek kecil, sama ada berkaitan dengan hubungan mereka dengan rakyat dan kumpulan-kumpulan tertentu seperti NGO di kawasan-kawasan mereka.
Mereka mesti laksanakan dengan sebaik-baiknya dan rancangan-rancangan yang lain yang boleh membantu rakyat. Memberi perhatian kepada golongan yang miskin. Mereka mesti faham bahawasanya mereka adalah orang-orang yang diharapkan berkhidmat untuk rakyat. Kerana rakyat yang telah memberikan sokongan kepada mereka untuk menjadi wakil rakyat dan ini kena faham betul-betul, mesti mesra rakyat, jangan sombong. Kalau mereka sombong maka tentu sekali tidak diingini oleh rakyat.
BTV: Itu nasihat kepada calon-calon berjaya yang mewakili BN tetapi pastinya Datuk Seri mempunyai nasihat dan juga teguran kepada calon-calon dari parti pembangkang yang sekarang yang telah membentuk beberapa kerajaan negeri. Kita percaya mereka telah bangkitkan beberapa isu yang boleh menyentuh perasaan kaum lain terutama apabila bercakap mengenai DEB dan hak keistimewaan orang Melayu dan sebagainya. Saya percaya Datuk Seri juga kurang senang dengan keadaan yang sedang berlaku ini. Pandangan Datuk Seri mengenai perkara ini.
PM: Mereka mesti memahami bahawasanya mereka sekarang ini menjadi pemerintah. Kerajaan di negeri-negeri itu adalah kerajaan yang mereka kuasai. Mereka mesti lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan. Jangan hanya membuat kenyataan-kenyataan untuk menjadi popular dengan kaum-kaum tertentu sahaja. Apa kenyataan mereka, mesti berhati-hati, hubungan baik antara kaum jangan digugatkan. Jangan membenarkan kaum-kaum tertentu merasa mereka dipinggirkan, mereka tidak diberi perhatian. Dasar-dasar jangan mudah diubahkan… fikirkan habis-habis dulu.
Kenyataan mengenai DEB mestilah menjadi satu kenyataan yang mengambil kira apakah maksud, apakah dasar dan tujuan dasar-dasar itu. Kalau buat ikut suka saja, maka ini akan bawa padah. Ini adalah perkara yang sangat penting untuk mereka fahami. Menjadi kerajaan pemerintah bukanlah sama dengan hanya menjadi parti pembangkang. Parti pembangkang lain peranannya dan pemerintah lain peranannya. Sekarang barulah mereka tahu bukan senang dan mudah.
BTV: Datuk Seri lihat bagaimana parti pembangkang di dalam usaha membentuk kerajaan campuran sendiri telah menampakkan masalah. Komen Datuk Seri mengenai soal ini.
PM: Ini telah tunjukkan bahawasanya apabila nak memerintah ada pelbagai masalah. Itu baru tiga parti, yang kita ada 14 parti. Saya percaya rakyat sedang memerhati apa yang mereka lakukan pada waktu ini.
BTV: Akhir sekali kami memberi peluang kepada Datuk Seri untuk memberi kata-kata kepada rakyat Malaysia yang barangkali telah pun reda sedikit perasaan mereka dengan keputusan pilihan raya yang telah pun diumumkan kerana akhirnya apa yang penting ialah ,sebagai rakyat Malaysia kita mahukan ialah melihat negara yang aman, makmur dan terus maju.
PM: Saya mengambil berat dan perhatian tentang keputusan pilihan raya yang telah kami perolehi baru-baru ini dan apa yang jadi kehendak rakyat dan perkara yang tidak disenangi rakyat boleh menjadi kemarahan rakyat, saya tetap akan address semua ini dan akan perbetulkan apa-apa juga yang jadi kekurangan, kelemahan, kelewatan atau pun kurang keadilan dalam melaksanakan projek-projek yang dijanjikan oleh kerajaan. Ini yang saya akan pastikan.
Kedua, saya mahu pastikan ialah supaya negara kita akan tetap jadi negara yang selamat untuk semua. Keselamatan adalah amat-amat penting. Saya tahu negara yang tidak selamat, tidak ada keamanan. Jika keamanan tidak ada, keselamatan tidak ada, amat susah kita nak membangunkan negara. Saya letakkan keutamaan kepada pembangunan negara, rakyat perlukan pembangunan yang memberi kenikmatan kepada mereka, peluang-peluang yang bermutu yang lebih baik untuk mereka hidup senang dan selesa dalam negara sendiri yang aman dan selamat.
Saya hendak pastikan dan buat perubahan-perubahan yang dijanjikan yang masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan. Ini yang saya perlu tegaskan dan saya harap menerima sokongan daripada rakyat. Saya tak akan lari daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kepada saya. Walaupun bukan dua pertiga tetapi majoritinya adalah majoriti yang besar yang membolehkan saya melaksanakan dan memastikan pemerintahan BN berjalan dengan baik dan akan dapat menghasilkan apa yang diharapkan oleh rakyat.
BTV: Terima kasih pandangan yang cukup ikhlas daripada Perdana Menteri dan saya percaya bahawa rakyat Malaysia dapat gambaran jelas tentang pendirian tegas yang disuarakan YB Perdana Menteri.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
SHAH ALAM, 14 Mac (Bernama) — Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berkata semua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco daripada parti itu diarahkan menyumbang 30 peratus daripada elaun asas setiap bulan kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membantu golongan berpendapatan rendah selain melahirkan ADUN dan Exco yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat.
“PAS Selangor akan melaksanakan program-program kebajikan bagi setiap rakyat seperti yang terkandung dalam tawaran pilihan raya yang lepas,” katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di sini hari ini.
Di samping itu, beliau berkata semua Exco, anggota Parlimen dan Adun dari parti itu juga diwajibkan membuat perisytiharan harta di samping tidak terlibat dalam perniagaan secara langsung.
“Kita tidak mahu berlaku konflik kepentingan sekiranya ada Exco yang terlibat dalam perniagaan…ini bagi mengelakkan sekiranya ada tawaran tender atau projek, akan timbul pengagihan yang tidak sama rata,” katanya.
Langkah itu juga bagi memastikan ADUN atau Exco menumpukan untuk berkhidmat kepada rakyat dan mentadbir negeri dan bukannya kepada perniagaan, katanya.
Mengenai pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Selangor di bawah pentadbiran baru kerajaan campuran pembangkang, Hassan yakin komponen yang bagus dalam DEB akan terus dilaksanakan selagi ia dapat memberi manfaat kepada semua kaum.
“Saya tidak nafikan ada beberapa komponen dalam DEB yang bagus. Kita akan ambil komponen yang bagus dan kita akan tolak tepi mana yang tidak bersesuaian. Kita akan tampung kelemahan yang ada dalam DEB itu.
“Dua matlamat DEB iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Kita masih melindungi orang Melayu dan pada masa yang sama kesamarataan dan kesaksamaan di kalangan semua kaum akan dapat dilihat dalam 100 hari pentadbiran negeri ini berjalan,” katanya.
Beliau berkata DEB adalah perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mesti dihormati.
— BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Satu laporan polis dibuat Ketua Penerangan Puteri Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Sharifah Aminah Syed Mohssain di Balai Polis Wangsa Maju semalam berikutan pemasangan kain rentang menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memperalatkan nama Puteri Umno.
Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad menafikan pergerakan itu terlibat dalam penyediaan dan pemasangan kain rentang itu dan mendakwa ada pihak tertentu yang memperalatkan nama pergerakan itu untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.
Beliau yang kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu berkata kain rentang itu dipasang di seluruh kawasan Lembah Klang dan pihak terbabit cuba menggugat keharmonian Umno dengan memperalatkan nama sayap parti itu.
“Perkara ini timbul setelah ahli puteri Umno menyedari ada kain rentang yang dipasang di jejantas Taman Melati yang menolak Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan menggunakan nama Puteri Umno.
“Tidak ada kerja lain, banyak duit mereka untuk cetak dan gantung di semua kawasan. Kami dapati semua kain rentang tersebut mempunyai warna, saiz dan bentuk yang serupa tetapi nama bahagian sahaja diubah dan kami syak itu kerja parti pembangkang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Puteri Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Mengenai tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang memansuhkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) atas alasan ia punca kronisme, rasuah dan ketidakcekapan pemimpin negara, Noraini berkata Puteri Umno menganggap perbuatan Lim bukan sahaja keterlaluan, malah telah menghina dasar itu.
“Puteri Umno mendesak Guan Eng supaya menarik balik dakwaan beliau yang menghina pelaksanaan DEB dan boleh menimbulkan rasa kurang senang khususnya di kalangan masyarakat Melayu di negara ini.
“DAP seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa jua kenyataan supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum. DAP juga tidak seharusnya mencetuskan suasana yang boleh menimbulkan ketegangan kaum demi memastikan keamanan dan keharmonian terus dipertahankan sampai bila-bila,” katanya.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
PETALING JAYA, 14 Mac (Bernama) — Polis sedang mengesan seorang bekas pekerja firma guaman yang dipercayai terbabit dalam 12 kes penipuan dan pemalsuan dokumen membabitkan kerugian melebihi RM1 juta dalam tempoh dua minggu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata polis sedang mencari D.Monaharan, 48, yang beralamat di Blok B-5-11, Kelana Impiana, Jalan SS 8/7, Petaling Jaya, untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Suspek menggunakan kepala surat nama dan alamat firma bekas majikannya untuk menipu dan mempengaruhi pelanggan bagi memindahkan wang ke akaun yang didakwa dibuka atas nama firma guaman itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.
Selain itu, Arjunaidi meminta orang ramai supaya berwaspada dengan satu sindiket yang mengiklankan peluang melanjutkan pelajaran di universiti di luar negara khususnya dalam bidang perubatan menerusi akhbar-akhbar tempatan.
“Sasaran mereka adalah kalangan pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berminat untuk menyambung pelajaran ke luar negara.
“Penjenayah tahu, kursus perubatan memerlukan kos yang tinggi dan oleh kerana itu mereka mengambil kesempatan dengan mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke akaun mereka, kononnya sebagai wang pendahuluan,” katanya.
Arjunaidi berkata sindiket itu akan meminta pemohon supaya memasukkan wang sebanyak RM25,000 setiap seorang sebagai wang pendahuluan bagi urusan pendaftaran dan perbelanjaan lain termasuk tambang penerbangan.
Berhubung perkembangan kes kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang lebih dua bulan lepas, Arjunaidi berkata polis kini telah mengubah strategi bagi mengesan kanak-kanak itu.
“Kita sedar, operasi kita mencari Sharlinie dari rumah ke rumah tidak mendatangkan sebarang hasil. Sekarang kami kumpul maklumat perisikan,” katanya.
Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya Sharliena dari pangan permainan tidak jauh dari rumah mereka di Taman Medan dekat sini pada 9 Jan lalu.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
Oleh Rosliwaty Ramly
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Pilihan raya umum 2008, yang baru berakhir, menyaksikan Barisan Nasional kembali memegang tampuk pemerintahan di peringkat kerajaan persekutuan walaupun memenangi majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Dengan kempen yang begitu hangat selama 13 hari oleh parti-parti politik di bawah Barisan Nasional (BN) dan Barisan Rakyat (BR), yang sebelum ini dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA), ia telah mencipta satu sejarah apabila berlaku perubahan yang besar dalam pemerintahan Malaysia.
Pilihan raya umum ini menyaksikan keputusan yang cemerlang oleh parti pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP, yang memenangi 82 kerusi parlimen, secara tidak langsung memecah rekod majoriti dua pertiga yang sekian lama dipegang oleh BN.
Satu catatan sejarah juga dilihat apabila empat negeri, tambahan kepada Kelantan, tanpa diduga jatuh ke tangan BR.
Sejak pilihan raya umum 1969 tidak pernah parti-parti pembangkang memenangi begitu banyak kerusi parlimen dan dewan undangan negeri. Tidak dinafikan juga, ‘tsunami’ yang digerakkan oleh para pengundi itu sendiri dilihat akan mengubah corak politik Malaysia.
MASA DEPAN PARTI
Namun beberapa persoalan timbul seperti sama ada kita akan menyaksikan kebangkitan sistem gabungan-dua yang selari dengan sistem dua-parti di negara lain, atau adakah ia satu halangan sementara bagi BN.
Isu-isu penting lain yang akan dibincangkan ialah mengenai kemiskinan di bandar dan luar bandar, kos kehidupan yang tinggi, pembentukan semula pemilihan majlis kerajaan tempatan, rasuah, pemberian projek di bawah sistem penaung.
Tidak kurang pentingnya juga ialah isu mengenai masa depan parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional yang mengalami kekalahan teruk seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP.
Adakah parti-parti ini akan dilupakan kerana politiknya tidak relevan
FORUM INPUMA
Forum bertajuk “Pilihan raya umum 2008: Ke arah satu sistem Gabungan Dua-Parti di Malaysia” akan dianjurkan oleh Institut Polisi dan Pengurusan Awam Antarabangsa (INPUMA) esok di Rumah Universiti, Universiti Malaya.
Menurut INPUMA, forum itu akan mengutarakan keprihatinan mengenai masa depan politik Malaysia dan hala tuju untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya.
Tiga penceramah dari pelbagai latar belakang dan pengalaman dijemput pada forum itu. Mereka ialah Prof Madya Dr. Azmi Sharom dari Universiti Malaya, Zainon Ahmad Editor Eksekutif Editor The Sun dan Derek John Fernandez peguam bela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Persekutuan.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) –Tsunami Politik yang dikatakan melanda kancah politik negara, akibat keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang baru berlalu, masih meletakkan banyak pihak di dalam kecelaruan fikiran, perasaan dan tindakan.
Tidak kurang juga yang terganggu tidurnya, hilang selera makan atau termangu tanpa sebarang arah tujuan dalam beberapa hari yang berlalu. Fenomena ini bukan sahaja dirasai oleh para pemimpin politik malah turut memberi kesan kepada masyarakat umumnya.
Sekiranya itulah keadaaan yang berlaku, maka istilah Tsunami Politik memang sesuai digunakan untuk menggambarkan keadaan yang berlaku.
Namun, tidak semua orang menjadi tidak menentu atau celaru selepas pilihan raya umum, kerana hampir separuh daripada pengundi, yang telah memberi undi kepada gabungan parti pembangkang, telah menyambutnya dengan perasaan kemenangan dan puashati. Wajah-wajah ceria yang saya temui di pelbagai tempat, tidak menggambarkan istilah Tsunami Politik ini secara tepat.
TSUNAMI POLITIK
Oleh itu, penggunaan istilah Tsunami Politik ini seolah-olah hanya sesuai digunakan kepada pihak yang tewas dan kehilangan kerusi dan kerajaan selepas pilihan raya umum yang lalu.
Sememangnya itulah yang sebenarnya, kerana semasa peristiwa Tsunami yang melanda Aceh dan juga sebahagian Pulau Pinang dan Kedah pada Disember 2004, gelombang tersebut meninggalkan kenangan pahit, lantaran kehilangan nyawa dan harta yang diakibatkan olehnya.
Tsunami Politik kali ini nampaknya mengorbankan tidak sedikit nyawa dan harta politik. Beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri Pusat telah kehilangan kerusi (dan mungkin juga jawatan) mereka.
Manakala beberapa negeri telah beralih kepada gabungan parti pembangkang. Namun kejutan di pihak yang merasai kehilangan oleh Tsunami ini, menjadi satu yang menggembirakan dan diraikan di pihak yang meraih kemenangan.
Bagi mereka, gelombang Tsunami yang membadai pantai Pulau Pinang dan Kedah empat tahun lalu, seolah-olah menjadi arus yang melorongkan kemenangan besar mereka pada kali ini.
Bagaimana seharusnya kita menanggapi perubahan yang sedang berlaku ini
BIJAK URUS PERUBAHAN
Rakyat secara umumnya, harus bijak menerima dan menguruskan perubahan yang sedang dan akan berlaku, hasil daripada pilihanraya yang baru berlalu.
Dengan kebijaksanaan ini, maka rakyat akan dapat mengawal keadaaan, tidak menjadi mangsa hasutan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan seterusnya memainkan peranan positif demi kebaikan negara dan negeri yang mereka diami.
Pertama, rakyat perlu bijak mentakrifkan semula erti istilah pemerintah danpembangkang. Ini penting kerana cubaan mentakrifkan Barisan Nasional sebagai pemerintah dan parti-parti lain sebagai pembangkang sudah menjadi tidak berasas lagi.
“Kini kita sudah ada lima buah kerajaan pembangkang”. Ini salah satu contoh penggunaan istilah yang sangat mengelirukan. Bagaimana boleh kita katakan kerajaan pembangkang, sedangkan tugas kerajaan dan pembangkang adalah saling berlawanan.
Penggunaan yang lebih tepat adalah seharusnya seperti berikut; Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memerintah di peringkat pusat sekali lagi, manakala Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor mendapat kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS, dan Kelantan kekal diterajui oleh Kerajaan PAS.
ELAK KEKELIRUAN
Kenyataan seperti ini akan dapat mengelakkan kekeliruan, kerana di negeri-negeri tersebut, BN akan memainkan peranan sebagai pembangkang.
Perkara kedua yang memerlukan kebijaksanaan rakyat, adalah kesediaan untuk menerima dan menguruskan perubahan. Rakyat perlu dijelaskan bahawa perubahan adalah suatu yang pasti dan akan terus berlaku di dalam kehidupan. Cuma yang berbeza adalah tahap perubahan tersebut.
Keputusan pilihanraya kali ini, menuntut kita semua menerima tahap perubahan yang lebih besar, yang semestinya menuntut kita memiliki jiwa yang besar jua.
Seseorang yang kerdil dan lemah jiwanya, akan mudah tewas dengan perasaan dan tekanan, lantas melahirkan tindakan dan tindakbalas yang tidak matang atau keanak-anakan.
Seorang tokoh politk yang berjiwa besar, perlu berani menerima kenyataan, mengakui keputusan yang tidak meletakkan mereka sebagai pemenang, dan mengalu-alukan kejayaan pihak lawan. Bukankah kita sering diajar mengenai semangat kesukanan ini sejak di bangku sekolah lagi
Pihak yang menang juga perlu bijak meraikan kemenangan, kerana mereka perlu sedar dan ingat, di sebalik keceriaan mereka menyambut kemenangan, ada wajah-wajah yang sugul dan terkejut.
Usah ditambah kepiluan mereka yang tewas ini, dengan sorak-sorai yang menambahkan luka, demi menjaga hati semua pihak. Begitu juga, cubaan untuk menuding jari atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu sebagai penyebab kekalahan perlu dielakkan.
Kini masanya untuk semua rakyat, tanpa mengira parti yang telah mereka undi, menguruskan perubahan ini secara bijaksana. Rakyat juga perlu menasihatkan pemimpin yang telah mereka pilih, agar mentadbir dan menguruskan pemerintahan negara dan negeri secara bijaksana.
Semua ini terkandung di dalam pengertian amanah dan tanggungjawab kepimpinan itu sendiri. Selamat Bertugas, YB!
Penulis ialah Fellow Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).( ahmadjais@ikim.gov.my)
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
Oleh Zulkiple Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — “Harga tambang ialah RM230.99 dan encik boleh bayar melalui kad kredit. Boleh saya dapatkan nombor kad kredit encik..,” itulah jawapan yang membuat Masnan Ahmat terpegun seketika.
Sebelum itu, Masnan telah membuat panggilan telefon kepada satu syarikat penerbangan tambang murah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dekat sini untuk menempah satu tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.
“Orang kata, iklan tentang harga tiket kapal terbang murah hanya merupakan satu gimik. Tapi tak lah saya sangka harga satu tiket sampai RM230.99 untuk satu tempat duduk,” kata Masnan, seorang guru.
Menurut Masnan, beliau tiada pilihan, melainkan terpaksa membeli tiket itu untuk anaknya yang akan kembali ke kolej pengajian setelah berakhirnya cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lepas.
“Kalau tidak kerana terpaksa, sudah tentu saya sudah tempah tiket penerbangan biasa dan dapat juga khidmat yang lebih baik. Saya ingat tiket penerbangan tambang murah memang murah, tapi rupa-rupanya sebalik pula,” kata beliau.
TIADA YANG MURAH
Berwaspadalah dengan perkataan ‘dari’ dalam iklan-iklan tiket penerbangan tambang murah, nasihat aktivis kepenggunaan dan sosial, Gurmukh Singh.
Beliau berpendapat pengguna tidaklah boleh menyalahkan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah, kerana penggunaan perkataan ‘dari’ sebenarnya mencerminkan kos asas bagi harga satu tiket penerbangan.
“Bila dimasukkan sekali caj tambahan untuk minyak, cukai lapangan terbang, bayaran untuk insurans, perkhidmatan dan pelbagai lagi, harga sebenar tiket tersebut bukanlah boleh dikata murah,” jelas beliau kepada Bernama di sini.
Tambah beliau, tiket-tiket tersebut boleh dibeli dengan harga yang betul-betul murah jika tempahan dibuat pada waktu lebih awal lagi.
“Kalau anda membuat tempahan on-line menerusi Internet, seperti tiga bulan daripada tarikh penerbangan, anda hanya perlu bayar hanya lebih kurang RM40 untuk satu tiket.
“Ini adalah lebih murah daripada harga satu tiket keretapi atau bas jika anda mahu ke destinasi seperti Pulau Pinang atau Kota Baharu,” kata Gurmukh.
FAKTOR MASA
Seorang lagi aktivis kepenggunaan, Fatimah Mansur, bersetuju dengan pandangan Gurmukh.
“Setengah dekad yang lampau, tak ramai orang yang boleh naik penerbangan komersil. Masa dulu, kemudahan ini hanyalah untuk ahli perniagaan dan korporat swasta serta pegawai kanan kerajaan.
“Lihatlah sekarang. Semua orang boleh naik kapal terbang, pelajar boleh terbang pulang dari asrama sekolah mereka yang terletak jauh dari kampung halaman”.
Kata beliau, rakyat Malaysia beruntung kerana mereka dapat menikmati tiket kapal terbang yang agak murah berbanding dengan rakyat di negara lain.
Terdapat dua syarikat penerbangan tambang rendah di negara ini, AirAsia dan Firefly.
Operasi AirAsia berpusat di terminal penerbangan kos rendah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, manakala Firefly terbang dari pusat operasinya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.
AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang pertama di rantau ini yang memperkenalkan penerbangan tanpa tiket serta tempat duduk bebas. Syarikat ini memang popular kerana penawaran harga tiket rendah.
Ia juga mempunyai syarikat kembar di negara Asean iaitu Thai AirAsia yang terbang dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok dan Indonesia AirAsia yang beroperasi dar Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
BEKALAN DAN PERMINTAAN
Tiket kapal terbang adalah seperti barangan pengguna yang lain, kata Fatimah.
“Konsepnya adalah sama. Jika anda dalam keadaan yang amat memerlukan dan tarikh penerbangan yang anda mahu adalah dekat, maka mahal lah tiket yang anda mahu beli. Tapi, jika tarikhnya berbulan lagi, harga tiket tersebut adalah memang murah.
“Konsep tambang murah memang baik untuk mahasiswa universiti dan pelajar lain. Mereka boleh membuat tempahan awal, sebab mereka sudah tahu tarikh cuti masing-masing,” katanya.
Jelas Fatimah lagi, konsep terbang dengan tambang murah memang baik untuk seisi keluarga kerana ia membolehkan sesebuah keluarga pergi bercuti dengan kos yang lebih murah, dengan syarat tempahan awal perlu dilakukan.
– BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) — Selain dorongan ibu bapa dan tunjuk ajar daripada para guru, sikap sabar dan konsisten merupakan kunci kejayaan bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007.
Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A berkata beliau mengamalkan sikap belajar dengan sabar di samping membina kekuatan dalaman dengan bertawakkal kepada Allah bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah itu terpilih menerima anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.
Azali yang bercita-cita untuk menjadi seorang profesor berkata beliau tidak mempunyai jadual pembelajaran tertentu dan hanya belajar mengikut kesesuaian dirinya.
“Saya tak pernah ada jadual kerana kalau ada jadual, saya akan rasa tertekan sebab kena ikutnya, jadi saya belajar bila rasa ada semangat untuk belajar tetapi semangat itu kita kena rangsang selalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2007 oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Azali yang turut aktif dalam aktiviti kokurikulum berkata, keputusan mengambil 21 mata pelajaran pada SPM 2007 bukan untuk mengatasi rekod SPM tahun-tahun sebelum ini.
“Bagi saya kalau buat untuk memecahkan rekod, ia sebenarnya tak ada apa-apa tetapi saya buat untuk saya sendiri dan untuk cikgu dan ibu bapa,” katanya yang sentiasa bertawakkal kepada Allah.
–BERNAMA
Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

