PULAU PINANG, 14 Mac (Bernama) — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengelak daripada menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau membantah penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau sebaliknya mengalihkan perhatian kepada Agenda Ekonomi Malaysia yang sudah dirangka bagi menjaga kepentingan kaum Melayu di peringkat bawahan dan pertengahan.

Walaupun diasak oleh pemberita dengan pelbagai soalan berkaitan pendiriannya mengenai dasar itu, Anwar berkata agenda ekonomi yang hendak diperkenalkan oleh PKR dan DAP adalah lebih baik dan telahpun merangkumi sebahagian matlamat DEB terutama dalam isu membasmi kemiskinan.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di pejabatnya di sini, beliau sebaliknya menuduh media sengaja memutarbelitkan isu DEB ini yang hanya untuk menjaga kepentingan segolongan kecil kumpulan yang merompak kekayaan orang Melayu.

“Kita sudah merangka lima perkara dalam Agenda Ekonomi Malaysia, tetapi media tempatan memutarbelitkannya kerana mahu menjaga kepentingan golongan kecil.

“Aspek DEB yang basmi kemiskinan tu ada (dalam Agenda Ekonomi Malaysia) dan anda kena baca lima prinsip agenda itu. Cadangkan editor akhbar baca agenda ekonomi Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Anwar meminta semua pihak, termasuk Umno Pulau Pinang, supaya memberi masa kepada kerajaan negeri pakatan DAP-PKR di negeri ini untuk membuktikan kepimpinan mereka.

Katanya kerajaan baru itu belumpun sampai seminggu dan adalah tidak wajar mereka dikritik dan dihentam secara melulu.

“Beri mereka masa untuk membuktikan kebolehan, bukan hentam dengan pelbagai isu,” katanya.

Mengenai kemelut pembentukan kerajaan negeri di Perak, Anwar mengakui memang terdapat masalah pada mulanya mengenai perkara itu tetapi kini ia dapat diselesaikan secara bersama dengan pakatan pembangkang yang lain.

“Kita telah mencapai persetujuan dan biarlah orang di Perak yang mengumumkan. Kita tunggu pengumuman daripada Sultan,” katanya.

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.