Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Laporan Perdana Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) – Kedudukan Kanak-kanak di Dunia – tahun ini menilai situasi survival kanak-kanak dan penjagaan kesihatan asas bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak, menunjukkan kedudukan isu-isu ini semasa umat manusia mengecapi kemajuan.

Laporan global itu akan disiarkan di Malaysia sempena Hari Kesihatan Sedunia 2008, yang akan disambut dengan rasminya pada 7 April.

Dengan lebih kurang 26,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap hari, dan tempoh tamat bagi Matlamat Pembangunan Milenium (MDG)4 – yang bertujuan mengurangkan mortaliti kanak-kanak sebanyak dua pertiga antara tahun 1990 dan 2015 – semakin dekat, timbul soalan-soalan kritikal, khasnya: bagaimana momentum terhadap survival maternal, bayi baru lahir dan kanak-kanak dapat dikekalkan serta kemajuan dipercepatkan dalam baki tempoh lapan tahun ini.

Menurut Wakil UNICEF Malaysia En. Youssouf Oomar, kadar mortaliti kanak-kanak pada amnya diiktiraf sebagai petunjuk terbaik kesejahteraan penduduk kanak-kanak dan juga satu penilaian pembangunan keseluruhan sesebuah negara.

“Isu-isu ini merupakan kayu ukur sensitif pembangunan serta kesejahteraan sesebuah negara dan juga sebagai bukti keutamaan dan nilai-nilainya. Melabur dalam kesihatan kanak-kanak dan ibu mereka merupakan elemen penting dalam hak asasi dan satu-satunya cara pasti bagi sesebuah negara untuk menetapkan haluan menuju masa depan yang lebih baik,” kata En.Oomar.

PENJAGAAN IBU DAN BAYI

Di Malaysia, kesihatan ibu dan bayi telah menyaksikan penambahbaikan dramatik sepanjang era pasca kemerdekaan, dengan paras hari ini hampir sama dengan negara-negara maju:

* Kadar mortaliti bawah lima tahun (U5MR) telah menurun daripada 57 peratus bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 22 pada 1990 dan seterusnya 12 pada 2006.

* Kadar mortaliti bayi (IMR) telah menyusut daripada 41 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 1970, kepada 16 pada 1990 dan seterusnya 10 pada 2006.

* Nisbah mortaliti maternal (MMR) menurun ke separuh antara 1957 dan 1970 apabila ia menyusut daripada sekitar 280 kepada 141 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. Menjelang 1990-an, MMR menyusut lagi dan kini berada di paras lebih kurang 33 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup (lebih kurang 160 kematian maternal yang dilaporkan setiap tahun).

Pengalaman Malaysia yang disifatkan menakjubkan ialah dalam usaha mengurangkan mortaliti kanak-kanak dan maternal yang merupakan hasil sinergi barisan luas dasar, strategi dan program yang telah menangani capaian kepada khidmat penjagaan kesihatan menerusi dimensi sosio-ekonomi, budaya, pendidikan, gender dan kemiskinan.

Bagaimanapun, selepas mencapai paras yang rendah, trend kebelakangan ini menunjukkan paras itu semakin mantap sementara jurang bandar-luar bandar semakin ketara.

Punca utama kematian di Malaysia bagi kanak-kanak di bawah usia satu tahun adalah keadaan perinatal, sementara septisemia dan pneumonia merupakan punca utama kematian kanak-kanak dalam kategori umur 1-5 tahun.

MORTALITI MATERNAL

Daripada segi mortaliti maternal atau keibuan, petunjuk-petunjuk proksi menunjukkan kadar lebih tinggi adalah di Sabah dan juga di kalangan penduduk Orang Asli di Semenanjung.

Pada masa yang sama, negara kini di peringkat peralihan epidemiologi di mana penyakit-penyakit tidak berjangkit dan penyakit kelamin seperti HIV semakin meningkat, khasnya di kalangan wanita.

Berdasarkan kepada pengalaman lepas, laporan UNICEF menunjukkan bagaimana pakar-pakar kesihatan maternal, bayi dan kanak-kanak semakin menumpukan pada satu set prinsip strategik bagi kesihatan dan survival kanak-kanak.

Prinsip-prinsip ini boleh memberikan dorongan perlu untuk mencapai MDG berkaitan kesihatan, termasuk:

* Mengiktiraf keperluan bagi perkongsian masyarakat untuk membantu keluarga dalam menambahbaik amalan penjagaan kesihatan bagi kanak-kanak, khasnya di negara-negara dengan sistem penjagaan kesihatan yang lemah.

* Menyediakan penjagaan berterusan bagi ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak dengan menyusun sistem penyampaian pada titik-titik penting kitaran hayat.

* Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan dengan menawarkan sokongan lebih utuh bagi negara-negara membangun dalam perancangan negara, dasar dan rangka kerja belanjawan bagi MDG berkaitan dengan kesihatan.

* Meningkatkan usaha di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan tumpuan utuh terhadap penyelarasan, pengharmonian dan keputusan.

“Peruntukan penjagaan-kesihatan mestilah sesuai dengan had-had sumber manusia dan kewangan, konteks sosio-ekonomi, kapasiti sedia ada pada sistem kesihatan negara dan, akhirnya, tindakan segera untuk mencapai keputusan,” tambah En.Oomar.

“Satu kajian terhadap strategi-strategi ini menawarkan perspektif penting terhadap situasi semasa dan membantu dalam melangkah ke hadapan dalam usaha menentukan survival kanak-kanak.”

“Cabarannya ialah untuk memastikan kanak-kanak dapat mencapai penjagaan kesihatan berterusan, bersama sokongan sistem kesihatan kebangsaan yang utuh serta pembabitan masyarakat tempatan,” demikian ditekankan oleh En.Oomar.

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.