Archive for March, 2008

 Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Pilihan raya umum 2008, yang baru berakhir, menyaksikan Barisan Nasional kembali memegang tampuk pemerintahan di peringkat kerajaan persekutuan walaupun memenangi majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Dengan kempen yang begitu hangat selama 13 hari oleh parti-parti politik di bawah Barisan Nasional (BN) dan Barisan Rakyat (BR), yang sebelum ini dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA), ia telah mencipta satu sejarah apabila berlaku perubahan yang besar dalam pemerintahan Malaysia.

Pilihan raya umum ini menyaksikan keputusan yang cemerlang oleh parti pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP, yang memenangi 82 kerusi parlimen, secara tidak langsung memecah rekod majoriti dua pertiga yang sekian lama dipegang oleh BN.

Satu catatan sejarah juga dilihat apabila empat negeri, tambahan kepada Kelantan, tanpa diduga jatuh ke tangan BR.

Sejak pilihan raya umum 1969 tidak pernah parti-parti pembangkang memenangi begitu banyak kerusi parlimen dan dewan undangan negeri. Tidak dinafikan juga, ‘tsunami’ yang digerakkan oleh para pengundi itu sendiri dilihat akan mengubah corak politik Malaysia.

MASA DEPAN PARTI

Namun beberapa persoalan timbul seperti sama ada kita akan menyaksikan kebangkitan sistem gabungan-dua yang selari dengan sistem dua-parti di negara lain, atau adakah ia satu halangan sementara bagi BN.

Isu-isu penting lain yang akan dibincangkan ialah mengenai kemiskinan di bandar dan luar bandar, kos kehidupan yang tinggi, pembentukan semula pemilihan majlis kerajaan tempatan, rasuah, pemberian projek di bawah sistem penaung.

Tidak kurang pentingnya juga ialah isu mengenai masa depan parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional yang mengalami kekalahan teruk seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Adakah parti-parti ini akan dilupakan kerana politiknya tidak relevan

FORUM INPUMA

Forum bertajuk “Pilihan raya umum 2008: Ke arah satu sistem Gabungan Dua-Parti di Malaysia” akan dianjurkan oleh Institut Polisi dan Pengurusan Awam Antarabangsa (INPUMA) esok di Rumah Universiti, Universiti Malaya.

Menurut INPUMA, forum itu akan mengutarakan keprihatinan mengenai masa depan politik Malaysia dan hala tuju untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya.

Tiga penceramah dari pelbagai latar belakang dan pengalaman dijemput pada forum itu. Mereka ialah Prof Madya Dr. Azmi Sharom dari Universiti Malaya, Zainon Ahmad Editor Eksekutif Editor The Sun dan Derek John Fernandez peguam bela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Persekutuan.

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) –Tsunami Politik yang dikatakan melanda kancah politik negara, akibat keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang baru berlalu, masih meletakkan banyak pihak di dalam kecelaruan fikiran, perasaan dan tindakan.

Tidak kurang juga yang terganggu tidurnya, hilang selera makan atau termangu tanpa sebarang arah tujuan dalam beberapa hari yang berlalu. Fenomena ini bukan sahaja dirasai oleh para pemimpin politik malah turut memberi kesan kepada masyarakat umumnya.

Sekiranya itulah keadaaan yang berlaku, maka istilah Tsunami Politik memang sesuai digunakan untuk menggambarkan keadaan yang berlaku.

Namun, tidak semua orang menjadi tidak menentu atau celaru selepas pilihan raya umum, kerana hampir separuh daripada pengundi, yang telah memberi undi kepada gabungan parti pembangkang, telah menyambutnya dengan perasaan kemenangan dan puashati. Wajah-wajah ceria yang saya temui di pelbagai tempat, tidak menggambarkan istilah Tsunami Politik ini secara tepat.

TSUNAMI POLITIK

Oleh itu, penggunaan istilah Tsunami Politik ini seolah-olah hanya sesuai digunakan kepada pihak yang tewas dan kehilangan kerusi dan kerajaan selepas pilihan raya umum yang lalu.

Sememangnya itulah yang sebenarnya, kerana semasa peristiwa Tsunami yang melanda Aceh dan juga sebahagian Pulau Pinang dan Kedah pada Disember 2004, gelombang tersebut meninggalkan kenangan pahit, lantaran kehilangan nyawa dan harta yang diakibatkan olehnya.

Tsunami Politik kali ini nampaknya mengorbankan tidak sedikit nyawa dan harta politik. Beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri Pusat telah kehilangan kerusi (dan mungkin juga jawatan) mereka.

Manakala beberapa negeri telah beralih kepada gabungan parti pembangkang. Namun kejutan di pihak yang merasai kehilangan oleh Tsunami ini, menjadi satu yang menggembirakan dan diraikan di pihak yang meraih kemenangan.

Bagi mereka, gelombang Tsunami yang membadai pantai Pulau Pinang dan Kedah empat tahun lalu, seolah-olah menjadi arus yang melorongkan kemenangan besar mereka pada kali ini.

Bagaimana seharusnya kita menanggapi perubahan yang sedang berlaku ini

BIJAK URUS PERUBAHAN

Rakyat secara umumnya, harus bijak menerima dan menguruskan perubahan yang sedang dan akan berlaku, hasil daripada pilihanraya yang baru berlalu.

Dengan kebijaksanaan ini, maka rakyat akan dapat mengawal keadaaan, tidak menjadi mangsa hasutan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan seterusnya memainkan peranan positif demi kebaikan negara dan negeri yang mereka diami.

Pertama, rakyat perlu bijak mentakrifkan semula erti istilah pemerintah danpembangkang. Ini penting kerana cubaan mentakrifkan Barisan Nasional sebagai pemerintah dan parti-parti lain sebagai pembangkang sudah menjadi tidak berasas lagi.

“Kini kita sudah ada lima buah kerajaan pembangkang”. Ini salah satu contoh penggunaan istilah yang sangat mengelirukan. Bagaimana boleh kita katakan kerajaan pembangkang, sedangkan tugas kerajaan dan pembangkang adalah saling berlawanan.

Penggunaan yang lebih tepat adalah seharusnya seperti berikut; Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memerintah di peringkat pusat sekali lagi, manakala Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor mendapat kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS, dan Kelantan kekal diterajui oleh Kerajaan PAS.

ELAK KEKELIRUAN

Kenyataan seperti ini akan dapat mengelakkan kekeliruan, kerana di negeri-negeri tersebut, BN akan memainkan peranan sebagai pembangkang.

Perkara kedua yang memerlukan kebijaksanaan rakyat, adalah kesediaan untuk menerima dan menguruskan perubahan. Rakyat perlu dijelaskan bahawa perubahan adalah suatu yang pasti dan akan terus berlaku di dalam kehidupan. Cuma yang berbeza adalah tahap perubahan tersebut.

Keputusan pilihanraya kali ini, menuntut kita semua menerima tahap perubahan yang lebih besar, yang semestinya menuntut kita memiliki jiwa yang besar jua.

Seseorang yang kerdil dan lemah jiwanya, akan mudah tewas dengan perasaan dan tekanan, lantas melahirkan tindakan dan tindakbalas yang tidak matang atau keanak-anakan.

Seorang tokoh politk yang berjiwa besar, perlu berani menerima kenyataan, mengakui keputusan yang tidak meletakkan mereka sebagai pemenang, dan mengalu-alukan kejayaan pihak lawan. Bukankah kita sering diajar mengenai semangat kesukanan ini sejak di bangku sekolah lagi

Pihak yang menang juga perlu bijak meraikan kemenangan, kerana mereka perlu sedar dan ingat, di sebalik keceriaan mereka menyambut kemenangan, ada wajah-wajah yang sugul dan terkejut.

Usah ditambah kepiluan mereka yang tewas ini, dengan sorak-sorai yang menambahkan luka, demi menjaga hati semua pihak. Begitu juga, cubaan untuk menuding jari atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu sebagai penyebab kekalahan perlu dielakkan.

Kini masanya untuk semua rakyat, tanpa mengira parti yang telah mereka undi, menguruskan perubahan ini secara bijaksana. Rakyat juga perlu menasihatkan pemimpin yang telah mereka pilih, agar mentadbir dan menguruskan pemerintahan negara dan negeri secara bijaksana.

Semua ini terkandung di dalam pengertian amanah dan tanggungjawab kepimpinan itu sendiri. Selamat Bertugas, YB!

Penulis ialah Fellow Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).( ahmadjais@ikim.gov.my)

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Oleh Zulkiple Ibrahim

Tiket (hanya ilustrasi)

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — “Harga tambang ialah RM230.99 dan encik boleh bayar melalui kad kredit. Boleh saya dapatkan nombor kad kredit encik..,” itulah jawapan yang membuat Masnan Ahmat terpegun seketika.

Sebelum itu, Masnan telah membuat panggilan telefon kepada satu syarikat penerbangan tambang murah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dekat sini untuk menempah satu tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

“Orang kata, iklan tentang harga tiket kapal terbang murah hanya merupakan satu gimik. Tapi tak lah saya sangka harga satu tiket sampai RM230.99 untuk satu tempat duduk,” kata Masnan, seorang guru.

Menurut Masnan, beliau tiada pilihan, melainkan terpaksa membeli tiket itu untuk anaknya yang akan kembali ke kolej pengajian setelah berakhirnya cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lepas.

“Kalau tidak kerana terpaksa, sudah tentu saya sudah tempah tiket penerbangan biasa dan dapat juga khidmat yang lebih baik. Saya ingat tiket penerbangan tambang murah memang murah, tapi rupa-rupanya sebalik pula,” kata beliau.

TIADA YANG MURAH

Berwaspadalah dengan perkataan ‘dari’ dalam iklan-iklan tiket penerbangan tambang murah, nasihat aktivis kepenggunaan dan sosial, Gurmukh Singh.

Beliau berpendapat pengguna tidaklah boleh menyalahkan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah, kerana penggunaan perkataan ‘dari’ sebenarnya mencerminkan kos asas bagi harga satu tiket penerbangan.

“Bila dimasukkan sekali caj tambahan untuk minyak, cukai lapangan terbang, bayaran untuk insurans, perkhidmatan dan pelbagai lagi, harga sebenar tiket tersebut bukanlah boleh dikata murah,” jelas beliau kepada Bernama di sini.

Tambah beliau, tiket-tiket tersebut boleh dibeli dengan harga yang betul-betul murah jika tempahan dibuat pada waktu lebih awal lagi.

“Kalau anda membuat tempahan on-line menerusi Internet, seperti tiga bulan daripada tarikh penerbangan, anda hanya perlu bayar hanya lebih kurang RM40 untuk satu tiket.

“Ini adalah lebih murah daripada harga satu tiket keretapi atau bas jika anda mahu ke destinasi seperti Pulau Pinang atau Kota Baharu,” kata Gurmukh.

FAKTOR MASA

Seorang lagi aktivis kepenggunaan, Fatimah Mansur, bersetuju dengan pandangan Gurmukh.

“Setengah dekad yang lampau, tak ramai orang yang boleh naik penerbangan komersil. Masa dulu, kemudahan ini hanyalah untuk ahli perniagaan dan korporat swasta serta pegawai kanan kerajaan.

“Lihatlah sekarang. Semua orang boleh naik kapal terbang, pelajar boleh terbang pulang dari asrama sekolah mereka yang terletak jauh dari kampung halaman”.

Kata beliau, rakyat Malaysia beruntung kerana mereka dapat menikmati tiket kapal terbang yang agak murah berbanding dengan rakyat di negara lain.

Terdapat dua syarikat penerbangan tambang rendah di negara ini, AirAsia dan Firefly.

Operasi AirAsia berpusat di terminal penerbangan kos rendah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, manakala Firefly terbang dari pusat operasinya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang pertama di rantau ini yang memperkenalkan penerbangan tanpa tiket serta tempat duduk bebas. Syarikat ini memang popular kerana penawaran harga tiket rendah.

Ia juga mempunyai syarikat kembar di negara Asean iaitu Thai AirAsia yang terbang dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok dan Indonesia AirAsia yang beroperasi dar Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

BEKALAN DAN PERMINTAAN

Tiket kapal terbang adalah seperti barangan pengguna yang lain, kata Fatimah.

“Konsepnya adalah sama. Jika anda dalam keadaan yang amat memerlukan dan tarikh penerbangan yang anda mahu adalah dekat, maka mahal lah tiket yang anda mahu beli. Tapi, jika tarikhnya berbulan lagi, harga tiket tersebut adalah memang murah.

“Konsep tambang murah memang baik untuk mahasiswa universiti dan pelajar lain. Mereka boleh membuat tempahan awal, sebab mereka sudah tahu tarikh cuti masing-masing,” katanya.

Jelas Fatimah lagi, konsep terbang dengan tambang murah memang baik untuk seisi keluarga kerana ia membolehkan sesebuah keluarga pergi bercuti dengan kos yang lebih murah, dengan syarat tempahan awal perlu dilakukan.

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Azali Azlan PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) — Selain dorongan ibu bapa dan tunjuk ajar daripada para guru, sikap sabar dan konsisten merupakan kunci kejayaan bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007.

Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A berkata beliau mengamalkan sikap belajar dengan sabar di samping membina kekuatan dalaman dengan bertawakkal kepada Allah bagi menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah itu terpilih menerima anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Azali yang bercita-cita untuk menjadi seorang profesor berkata beliau tidak mempunyai jadual pembelajaran tertentu dan hanya belajar mengikut kesesuaian dirinya.

“Saya tak pernah ada jadual kerana kalau ada jadual, saya akan rasa tertekan sebab kena ikutnya, jadi saya belajar bila rasa ada semangat untuk belajar tetapi semangat itu kita kena rangsang selalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2007 oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azali yang turut aktif dalam aktiviti kokurikulum berkata, keputusan mengambil 21 mata pelajaran pada SPM 2007 bukan untuk mengatasi rekod SPM tahun-tahun sebelum ini.

“Bagi saya kalau buat untuk memecahkan rekod, ia sebenarnya tak ada apa-apa tetapi saya buat untuk saya sendiri dan untuk cikgu dan ibu bapa,” katanya yang sentiasa bertawakkal kepada Allah.

–BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Oleh Zulkiple Ibrahim (Sempena Hari Ginjal Sedunia,esok)

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Ketika beliau dibawa masuk ke unit trauma dan kecemasan di sebuah pusat perubatan di sini, A.Sukumar berada dalam keadaan tercungap-cungap dan sukar bernafas.

“Dia hampir lemas,” kata seorang doktor yang merawat pesakit itu.

Mengapa doktor itu berkata sedemikian?.

Bila diperiksa dan setelah menjalani ujian darah, Sukumar didapati mengalami kegagalan ginjal atau buah pinggang peringkat akhir (ESRF).

Sukumar hampir maut setelah mengalami keadaan ‘takungan cecair dalam badan’ akibat air telah memasuki paru-parunya. Ia hampir ‘mati lemas’ walaupun masih bernafas.

Sementara itu, bagi Mah Weng Hong, 32, hidup beliau sudah tidak bermakna lagi bila menghidapi kegagalan ginjal.

“Aktiviti harian saya amat terhad. Oleh itu, saya tidak punya pendapatan seperti dahulu,” kata Mah, yang pernah bekerja sebagai jurujual komputer.

Adakah betul seperti yang diperkatakannya?.

“Sudah tentu tidak,” jawab Kang Chok On, Pegawai Sains Perubatan Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Kang, yang mempunyai pengalaman hampir tiga dekad, dalam perawatan pesakit kegagalan ginjal, berkata: “Pesakit masih boleh hidup serta menjalani rutin harian seperti biasa, jika mereka menjalani rawatan dialisis”.

HEMODIALISIS

Menurut Kang, hemodialisis merupakan rawatan yang digunakan untuk kegagalan ginjal semenjak tahun 1960-an.

Bila pesakit berkata tentang ‘cuci darah’, mereka maksudkan hemodialisis, kata Kang.

“Hemodialisis boleh dijalankan di hospital atau klinik, atau mana-mana pusat rawatan harian dan juga rumah pesakit. Rawatan mengambil masa dari empat hingga lima jam. Pesakit biasanya baring atas sofa atau kerusi dan mereka boleh menjalani rawatan sambil membaca atau menonton televisyen,” beliau memberitahu Bernama di sini.

Ginjal adalah organ yang penting untuk membersihkan darah. Organ ini membuang bahan sisa, seperti mineral, urea dan kreatinin serta cecair lebihan dari darah.

Bahan-bahan buangan ini kemudian dialirkan ke pundi kencing dan dikumuh dari badan dalam air kencing.

Ginjal juga mengekalkan keseimbangan garam, ion dan air dalam badan. Organ ini juga mengawal tekanan darah melalui enzim renin yang juga memberi kestabilan pada kandungan garam dalam darah seperti mineral serta kalsium dan fosfat.

Menurut Kang, ginjal juga penting untuk mengawal pH (tahap asid) dalam darah dengan mengeluarkan hormon erythropoietin, yang memberi stimulasi pembentukan sel darah merah dalam sum-sum tulang.

Darah sentiasa menyalur ginjal menerusi arteri renal, pada kadar satu liter setiap minit. Ini adalah 20 peratus keluaran dari jantung.

Kang menjelaskan, manusia biasanya mempunyai dua organ ginjal tapi ada juga yang dilahirkan dengan hanya satu ginjal.

“Walaupun mereka hanya ada satu ginjal, satu sudah cukup untuk proses normal badan.

Bila seseorang itu ditakrifkan sebagai mengalami kegagalan ginjal maknanya kedua-dua organ ini telah gagal berfungsi sepenuhnya”.

Jelas Kang lagi, satu masalah besar ialah jumlah mesin dialisis yang tidak mencukupi untuk merawat pesakit yang semakin ramai.

“Kosnya agak tinggi, iaitu RM150-RM180 untuk satu sesi rawatan. Biasanya seorang pesakit memerlukan tiga sesi dialisis seminggu manakala ada juga kes-kes yang memerlukan empat sesi”.

DIALISIS PERITONEUM

Satu lagi rawatan kegagalan ginjal yang wujud sejak tahun 1980-an ialah dialisis peritoneum.

Kaedah ini menggunakan lapisan peritoneum yang menyelubungi organ dalam abdomen seperti perut, intestin kecil dan duodenum besar. Lapisan ini bertindak sebagai ginjal artifisial dalam menapis cecair buangan badan.

Terdapat dua jenis kaedah ini iaitu dialisis peritoneum secara ambulantori (yang tidak memerlukan mesin) serta dialisis peritoneum dibantu ‘cycler’ di mana mesin ‘cycler’ digunakan ketika pesakit sedang tidur.

RISIKO

Kang berkata, tanpa dialisis pesakit terpaksa menjalani pemindahan ginjal tetapi kosnya amat tinggi, mencecah RM100,000.

Terdapat banyak risiko ketika pesakit menjalani dialisis seperti perdarahan, tekanan darah menjunam rendah, infeksi, rasa mual dan juga kejang otot.

Masalah lain termasuk ketidakseimbangan elekrolit dan juga anemia.

Menurut pakar makanan Phua Yong Siew:”Oleh kerana pesakit yang menghidap kegagalan ginjal juga mengalami risiko sakit jantung, diet mereka hendaklah mengandungi kandungan yang rendah lemak”.

Kata beliau, pesakit juga perlu mengurangkan kandungan garam dalam makanan mereka manakala makanan yang mempunyai kandungan potasium yang tinggi adalah tidak baik untuk jantung.

Antara makanan yang mempunyai kandungan potasium tinggi ialah pisang, kacang, kentang, dhal, bayam dan tomato.

JUMLAH AIR YANG BOLEH DIMINUM

Menurut Kang, pesakit perlulah mengawal jumlah air yang mereka minum setiap hari.

“Mereka hendaklah minum tidak lebih dari 500 ml air satu hari, sama kandungan dengan sebotol air mineral yang kecil, kata beliau.

Dengan itu, seorang pesakit kegagalan ginjal seharusnya mencatat peningkatan berat badan tidak lebih dari 0.5 kg sehari antara sesi rawatan.

Jika ia minum lebih dari itu, ia akan mengalami takungan air dalam badan dan jika tidak dirawat, akibatnya boleh membawa maut, tambah beliau lagi.

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Sepertiga daripada wanita di Amerika Syarikat (AS) berkahwin semula dalam masa dua hingga empat tahun selepas bercerai manakala 39 peratus daripada lelaki berkahwin semula kurang daripada dua tahun, dan 38 peratus daripada wanita menunggu lebih daripada empat tahun untuk berkahwin semula.

Demikian menurut satu kajian yang dijalankan di AS yang dinamakan ‘ Jaminan Kewangan untuk wanita yang berkahwin semula’. Seramai 426 orang yang berkahwin untuk kali kedua diinterviu untuk kajian itu.

Pasangan yang menuju ke arah perkahwinan kali kedua lazimnya membawa bersama mereka permasalahan lama, hasil perkahwinan terdahulu.

Permasalahan ini adalah dalam bentuk emosi dan kewangan di mana kewangan biasanya melibatkan hutang yang sedia ada, tabiat lama berbelanja dan perancangan belanjawan serta tanggungjawab kewangan untuk keluarga yang terdahulu.

Justeru, kepada mereka yang berhasrat untuk berkahwin bagi kali kedua, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa panduan dari aspek kewangan sebagaimana yang terkandung dalam buku panduannya mengenai Perancangan Kewangan.

ACCA menasihatkan supaya seseorang itu dapat memikirkan untuk membuat perjanjian pra-nikah, cara-cara membahagikan aset dan tanggungan, dan cara terbaik mewujudkan akaun persendirian serta akaun untuk seisi rumah.

STATUS KEWANGAN SEMASA

Ketiga-tiga elemen itu disifatkan sebagai persediaan yang wajar sebelum seseorang memutuskan untuk berkahwin semula supaya ia dapat melengkapkan dirinya dari segi kewangan.

Antara perkara yang perlu dibincangkan bersama dengan bakal pasangan ialah:

* Jumlah hutang yang ditanggung dan dengan siapa ia berhutang. Ini merangkumi, antaranya, sewa beli, gadai janji, pinjaman untuk belajar dan pinjaman persendirian.

* Corak perbelanjaan anda terutama sekali dengan penggunaan kad kredit. Berapa banyak yang dibelanjakan setiap bulan dengan menggunakan kad kredit dan berapa banyak bakinya, serta berapa banyak pula yang anda ketepikan sebagai simpanan.

* Tanggungjawab kewangan anda kepada yang lain. Ini termasuk saraan atau nafkah dan perbelanjaan kepada anak-anak daripada perkahwinan terdahulu atau ibu bapa yang berusia.

Jika anda berhasrat untuk berkongsi tanggungjawab kewangan dengan bakal pasangan hidup anda, adalah lebih baik jika anda berbincang terlebih dahulu siapa yang membayar apa.

Jika salah seorang daripada anda enggan mendedahkan maklumat kewangan, itu seharusnya dengan segera menghantar mesej ‘bendera merah’ sebagai tanda amaran kerana pasangan anda mesti ada sebab kenapa ia berbuat demikian.

Pertimbangan perjanjian pra-nikah

Andaikata anda tidak menandatangani perjanjian pra-nikah untuk perkahwinan pertama, adalah baik jika anda dapat mempertimbangkannya kali ini terutama sekali jika anda mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, memiliki perniagaan atau menjadi rakan kongsi dalam sesebuah syarikat, atau jika anda berada pada kerjaya yang membolehkan anda meraih pendapatan yang lumayan.

Pendek kata, sebuah perjanjian pra-nikah seharusnya mengandungi maklumat-maklumat seperti aset dan tanggungan yang setiap seorang daripada anda harus bawa ke dalam perkahwinan dan ia juga seharusnya menetapkan dalam perjanjian itu mengenai pembahagian aset jika anda ingin mengemukakan perceraian.

Isu-isu yang sering ditimbulkan dalam sesebuah perjanjian ialah:

* Aset dan tanggungan

Apakah aset yang setiap seorang bawa dalam perkahwinan dan apakah nilainya Aset manakah yang menjadi harta perkahwinan dan yang mana pula akan terus dimiliki secara individu Apakah tanggungan yang setiap seorang miliki

* Perancangan harta pusaka

Apakah pula yang akan diperolehi oleh anak-anak anda daripada perkahwinan terdahulu dan juga perkahwinan kali kedua

* Jika anda bercerai

Bagaimanakah aset-aset itu akan dibahagikan Adakah pasangan anda menerima penyelesaian dalam jumlah yang banyak atau bayaran nafkah

Aset dan tanggungan

Menyentuh mengenai perkongsian aset dan tanggungan dalam perkahwinan kali kedua, di sini adalah perkara-perkara yang anda boleh lakukan.

* Hutang sebelum kahwin

Adalah lebih baik untuk mengasingkan hutang supaya ia dapat melindungi harta pasangan anda daripada penghutang.

* Hutang sewaktu perkahwinan

Sesuatu hutang itu wajar dikongsi bersama sekiranya ia diperolehi bersama. Jika tidak, ia wajar diasingkan.

* Harta dimiliki berasingan sebelum perkahwinan semula

Asingkan aset kerana ia boleh digunakan untuk diberikan kepada anak-anak daripada perkahwinan terdahulu. Ia juga adalah untuk melindungi anda daripada kehilangan harta kepada pemiutang pasangan anda.

Menyimpan akaun

Bagi sesiapa yang ingin memasuki gerbang perkahwinan untuk kali kedua, dinasihatkan supaya mewujudkan dua bentuk akaun iaitu akaun bersama dan akaun berasingan.

Akaun bersama boleh digunakan untuk menjelaskan perbelanjaan seisi keluarga seperti utiliti dan barangan dapur. Sumbangan untuk akaun bersama boleh dibuat secara adil atau sama rata atau boleh dibuat pada kadar pendapatan setiap pasangan.

Jika anda berpendapatan lebih daripada pasangan anda, anda mungkin ingin menyumbang 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Memiliki akaun berasingan adalah penting terutama sekali jika anda mempunyai komitmen kewangan yang diwarisi daripada perkahwinan terdahulu.

Komitmen itu termasuklah bayaran nafkah dan menyara anak. Bahkan, memiliki akaun berasingan secara psikologi akan memudahkan perkahwinan apabila anda tahu ia tidak datang daripada akaun bersama keluarga.

Pengalaman melalui perkahwinan pertama dan seterusnya perceraian, sepatutnya mendorong anda untuk mengambil langkah-langkah berwaspada terutama sekali dalam memulakan perbincangan mengenai kewangan dengan bakal pasangan anda.

Terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui dan lakukan demi mewujudkan status kewangan yang baik. Dan ia menjadi lebih bertepatan jika perkahwinan pertama anda hancur disebabkan isu-isu kewangan.

– BERNAMA

Majalah.Dompas.net dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Dompas Networks, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Majalah.Dompas.net, Medan 9/3/2008 – Kepedulian Pemprovsu (Pemerintah Provinsi Sumatra Utara) terhadap korban trafficking (perdangangan anak dan perempuan) dinilai masih minimum, padahal Sumatera Utara merupakan salah satu pintu transit trafficking ke luar negeri.

Sebanyak 14 korban trafficking yang ditangani Yayasan Pusaka Indonesia salah satunya, wanita asal Pulau Jawa yang dipekerjakan sebagai pekerja seks komersial (PSK) di lokalisasi Bandar Baru ini kesulitan untuk pulang ke kampung halamannya karena ketiadaan biaya.

Yayasan Pusaka Indonesia juga kewalahan untuk mengumpulkan dana guna advokasi korban trafficking itu. Salah satu bukti kurang seriusnya Pemprovsu menangani korban trafficking itu adalah tidak adanya tempat yang layak bagi korban trafficking serta penanganan yang kongkret terhadap korban trafficking.

“Kami hanya bisa menyiapkan fasilitas penginapan, sedangkan untuk ongkos pemulangan korban kami kesulitan karena Pemprovsu tidak begitu respon terhadap persoalan kemanusiaan itu,” keluh Edy Ikhsan Ketua Badan Pengurus Yayasan Pusaka Indonesia di hadapan Calon Wakil Gubernur Sumut Gatot Pujo Nugroho, ST dan rombongan saat berkunjung ke Yayasan Pusaka Indonesia, Jalan Setia Budi Medan, Kamis (7/3).

Didampingi Ketua Yayasan Pusaka Indonesia Marasamin Ritonga SH, Koordinator Advokasi dan Ligitasi Elisabeth Juniarti SH dan Koordinator Divisi Anak dan Perempuan Ifwardi SH, Edy berharap Pemprovsu ke depan memiliki visi terhadap penanganan trafficking. “Kalau mas Gatot nanti terpilih ya trafficking-lah yang diutamakan. Rencana Program Jangka Menengah Pemprovsu harus memuat penanganan trafficking,” ucap Edy Ikhsan.

Komitmen

Sementara itu Gatot Pujo Nugroho, ST menyatakan komitmennya terhadap penangganan korban trafficking. Hal ini seiring dengan program kerja Syamsul-Gatot jika terpilih menjadi Gubsu periode 2008-2013 dengan konsep memuliakan kaum perempuan. Alasannya, perempuan adalah tiang negara sehingga negara akan baik jika perempuannya baik. “Inilah salah satu yang mendorong saya datang Yayasan Pusaka Indonesia ini, karena saya peduli dengan perempuan,” terangnya.

Dalam dialog dengan 14 korban trafficking itu, Gatot berpesan agar semuanya hijrah ke jalan yang benar. Artinya pengalaman pahit selama ini bisa dijadikan bahan introspeksi guna menapak hidup ke arah yang lebih baik. “Saya turut mendoakan mbak-mbak agar cepat pulang ke kampung halaman masing-masing,” ucapnya. (Dikutip dari Analisa Oleh : Tengku Adrian)

This post was submitted by Tengku Adrian.